Soalan:

Apabila saya membuat tuntutan terhadap syarikat insurans kenderaan yang melanggar kenderaan saya, syarikat insurans berkenaan enggan membayar tuntutan saya kerana pemegang polisinya tidak membuat laporan. Mengapakah ini terjadi?

Jawapan:

Polisi insurans adalah kontrak di antara syarikat insurans dengan pemegang polisi. Sekiranya pemegang polisi tidak membuat laporan kepada syarikat insurans tentang sesuatu kemalangan, syarikat insurans tidak dapat melayan sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga memandangkan syarikat insurans tidak mempunyai kontrak dengan pihak ketiga tersebut.

Oleh yang demikian, syarikat insurans pihak ketiga akan hanya bertanggungjawab menyelesaikan tuntutan anda sekiranya pemegang polisinya mengarahkan syarikat insurans supaya berbuat demikian bagi sesuatu kerugian/ kerosakan dalam suatu kemalangan yang disebabkan olehnya.

Walau bagaimanapun, untuk memudahkan orang ramai, syarikat-syarikat insurans telah bersetuju untuk melayan tuntutan pihak ketiga walaupun pemegang polisi mereka tidak membuat laporan. Anda hanya perlu mengemukakan tuntutan untuk pertimbangan syarikat insurans dalam tempoh 14 hari dari tarikh kemalangan bersama-sama dengan dokumen-dokumen berikut:

a) satu salinan laporan polis;
b) satu salinan laporan polis pemegang polisi, jika ada;
c) jika (b) tidak ada, boleh diganti dengan Akuan Berkanun menyatakan kejadian kemalangan dan mengenal pasti bahawa kenderaan pemegang polisi adalah pihak yang terlibat dalam kemalangan; dan
d) satu salinan laporan penyiasatan polis atau maklumat daripada polis sebagai bukti bahawa pemegang polisi syarikat insurans tersebut adalah pihak yang bersalah dalam kemalangan.