Soalan:

Mengapakah saya tidak boleh menginsuranskan kenderaan saya pada sebarang nilai yang saya fikir munasabah? Sekiranya saya membuat tuntutan,saya berharap syarikat insurans akan membayar saya pada amaun yang telah saya insuranskan.

Jawapan:

Adalah mustahak untuk menginsuranskan kenderaan anda pada nilai pasaran dan bukan pada nilai yang anda mahu bagi mengelakkan terlebih atau terkurang insurans. Terlebih insurans berlaku apabila anda menginsuranskan kenderaan anda pada nilai yang lebih tinggi daripada nilai pasaran. Apabila anda membuat tuntutan, syarikat insurans hanya akan membayar anda mengikut harga pasaran kenderaan anda. Sekiranya anda terlebih insurans ke atas kenderaan anda, anda telah membayar premium yang lebih tinggi, tetapi sebenarnya tidak perlu.

Terkurang insurans berlaku apabila jumlah yang diinsuranskan lebih rendah daripada nilai pasaran. Dalam kes ini, anda adalah dianggap ‘menginsuranskan sendiri’ perbezaan di antara kedua-dua nilai tersebut. Oleh yang demikian, sekiranya berlaku kerosakan, anda perlu menanggung bahagian yang anda insuranskan sendiri, daripada keseluruhan jumlah kos membaiki kenderaan anda. Contohnya, sekiranya anda menginsuranskan kenderaan anda sebanyak 80% daripada nilai pasaran, syarikat insurans akan hanya membayar 80% daripada jumlah kos pembaikannya.

Sentiasa semak dengan pemegang francais kenderaan tentang nilai pasaran kenderaan anda untuk mengelakkan terlebih atau terkurang insurans. Anda boleh bertanya kepada syarikat insurans/ejen anda untuk mendapatkan pengesahan daripada pemegang francais kenderaan tentang amaun yang sepatutnya diinsuranskan.