2011/05/05

PERSATUAN Insurans Am Malaysia (PIAM) menyasar semua persediaan melaksanakan sistem perlindungan untuk ‘kenderaan tersisih’ seperti yang disarankan Bank Negara Malaysia melalui Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) akan siap menjelang minggu depan.

Pengarah Eksekutif PIAM, Lim Chia Fook, berkata ahli persatuan itu kini sedang mempersiapkan sistem itu sebagai langkah menyokong sepenuhnya usaha menyediakan akses yang lebih luas kepada perlindungan motor. Ia katanya, adalah sebahagian daripada pelan peralihan industri itu ke arah Rangka Kerja Perlindungan Motor Baru yang berkuat kuasa tahun depan. “Semua syarikat insurans seharusnya dapat berbuat demikian menjelang minggu depan. Untuk menyediakan kemudahan dan sistem itu akan memakan sedikit masa supaya setiap syarikat insurans dan cawangannya boleh menawarkan sama ada perlindungan motornya sendiri atau mengeluarkan perlindungan bagi pihak MMIP,” katanya dalam kenyataannya di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Bank Negara Malaysia, kelmarin, berhubung kenderaan persendirian melebihi jangka hayat 10 tahun akan dikenakan kadar premium pasaran normal dan tidak tertakluk kepada bebanan yang dikenakan terhadap kenderaan berisiko tinggi.

Pengumuman yang berkuat kuasa serta-merta itu turut menyatakan pemilik kenderaan persendirian terbabit boleh mendapatkan perlindungan insurans di semua penanggung insurans dan pejabat pos seluruh negara.

Chia Fook berkata, MMIP juga adalah inisiatif industri bagi penyediaan insurans motor iaitu sebagai penanggung insurans terakhir bagi kenderaan yang tidak boleh mendapatkan perlindungan daripada pasaran biasa.

KUALA LUMPUR: Berkuat-kuasa serta-merta kenderaan persendirian melebihi jangka hayat 10 tahun akan dikenakan kadar premium pasaran normal dan tidak tertakluk kepada bebanan yang dikenakan terhadap kenderaan berisiko tinggi.

Serentak itu, pemilik kenderaan persendirian terbabit boleh mendapatkan perlindungan insurans di semua penanggung insurans dan pejabat pos seluruh negara.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan semalam turut mengumumkan penanggung insurans memberi komitmen untuk menyediakan perlindungan kepada motosikal ditajajamin Insuran Kenderaan Berkelompok Malaysia (MMIP).

“Sehubungan itu, penanggung insurans harus memberitahu pelanggan mereka sama ada perlindungan insurans motor yang ditawarkan, disediakan oleh pihak penanggung insurans atau MMIP.

“Selain itu, kenderaan melebihi 10 tahun atau ‘kenderaan tersisih’ hanya dikehendaki menjalani pemeriksaan tahunan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) jika kenderaan terbabit dianggap berisiko tinggi,” kata kenyataan itu.

Pada tahun 2009, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan tidak bercadang membatalkan perlindungan insurans bagi kereta lama dan kenderaan berharga bawah RM10,000.

Perdana Menteri berkata, kesukaran orang ramai mendapatkan perlindungan insurans pihak ketiga adalah disebabkan syarikat insurans menanggung kerugian berikutan kos tuntutan tinggi bagi perlindungan pihak ketiga yang tidak setimpal dengan premium dikenakan.

BNM berkata, bagi memastikan hak pengguna dilindungi, pihaknya melarang penanggung insurans daripada memaksa pelanggan mereka supaya membeli produk bukan motor sebagai syarat untuk mereka menjual perlindungan insurans.

Katanya, langkah itu adalah untuk memastikan orang ramai terus mendapat perlindungan kenderaan yang diperlukan dalam tempoh peralihan kepada Rangka Kerja Perlindungan Kenderaan Baru.